Wednesday, April 20, 2011

BiDaDaRiKu 4

Miasarah menarik nafas dalam. Bibirnya tidak lekang membaca ayat kursi dan selawat. Satu perasaan yang sukar ditafsirkan apabila dia berhadapan dengan mentuanya. Razlan disisi dikerlingnya, suaminya nampak tenang bersahaja. Kereta wira buruk milik Razlan membelah laju kawasan kampung Atap. Sengaja Razlan pulang dengan kereta wiranya sebab dia juga ada bersama Razlan. Kedekut benar hendak menumpangkan dia dengan kereta BMWnya itu. Sanggup pula dia naik kereta wira buruk untuk pulang ke kampung semata-mata mempertahankan perinsipnya hanya wanita yang dicintainya sahaja yang dapat merasa naik ketera BMWnya. Selagi belum ada wanita yang dicintainya merasa kereta barunya yang lain-lain juga tidak akan dapat merasa termasuk lah dirinya. Apa punya pelik perangai Razlan. Emak dan ayahnya dah tahu ke belum dia ada kereta baru. Miasarah geleng kepala.

“Lan perlahan la sikit. Lajunya kau bawak, ini kan kawasan kampung.” Tegur Miasarah apabila Razlan semakin dekat dengan rumah mentunya.
“Kau ni biar betul laju apanya aku bawak, meter pun tak bergerak ni.” Jawab Razlan selamba. Miasarah mengerling pada meter kereta wira, memang benar Razlan tidak memecut laju seperti yang disangkanya meter hanya menunjukkan ke angka 40km tapi mengapa dia terasa laju.
“Kau demam ke..”Tangan Razlan menyentuh dahi Miasarah. Perlakuan Razlan secara spontan itu mengejutkan Miasarah. Hatinya berdegup kencang.
“Tak panas pun.” Miasarah masih membisu.
“Kau takut mak kan..”Usik Razlan bersama sengihan kecil.
“Ala mak memang macam tu lama-lama dia ok la tu.” Miasarah hanya diam. Kata Razlan langsung tak boleh pakai “Lama-lama ok lah tu.” Dia ketawa dalam hati, mahu ditunggu lama mana lagi sudah setahun dia menjadi isteri Razlan tapi emak Razlan masih belum dapat menerimanya lagi. Dia dituduh mengguna-gunakan Razlan hingga Razlan sanggup menolak perempuan pilihan keluarganya. Jika emak Razlan tahu apa yang menyebabkan dia berkahwin dengan Razlan sudah tentu anak lelakinya itu dikerat sepuluh. Gara-gara ingin menjadikan Jannah menantu akhirnya dia yang menjadi mangsa. Mangsa… bukan mangsa, dia menolong Razlan dengan niat ikhlas walaupun terasa berat untuk dia memikulnya. Razlan sahabat yang dicintainya dalam diam. Datang merayu padanya untuk dijadikan isteri bagi mengelakkan emaknya memilih Jannah sebagai isteri. Razlan pernah memberitahunya dia tidak akan berkahwin dan menyentuh wanita yang tidak dicintainya. Tidak sekali-kali. Untuk mengelakkan desakan emaknya Razlan memintanya untuk menyelamatkannya. Hanya dia teman sejati Razlan. Akhirnya dia bersetuju. Tapi harus berapa lama lagi dia akan membantu Razlan. Sudah setahun Razlan masih belum menemui cinta hatinya. Miasarah bimbang rasa cinta yang ada didalam hatinya itu akan memakan dirinya sendiri.
“Dah sampai pun tak nak turun ke..” tegur Razlan membuatkan lamunan Miasarah bercempra lari. Miasarah tersenyum kelat. Razlan ketawa kecil.
Emak mentuanya sudah menunggu dimuka pintu. Takut atau tidak dia terpaksa melangkah. Encik Bakar ayah mentuanya tersenyum menyambut kepulangan anak menantunya cuma wajah Mak Temah sahaja yang kelat.
“Apakhabar mak, ayah.” Sapa Miasarah memaniskan wajahnya. Razlan mengekor dibelakang. Salam bersambut. Mak Temah masih berwajah kelat.
“Masuk Mia..” Pelawa Encik Bakar. Razlan bersalaman dengan emak dan ayahnya. Bau harum lauk masak lemak tempoyak mengundang gelora diperutnya.

“Sedapnya bau. Mak masak apa ni..”
“Masak lemak tempoyak.”
“Macam tahu-tahu aja Lan nak balik.”
“Macam tahu-tahu apa, kan kau yang telefon minggu lepas bagitahu nak balik kampong, kau ingat mak ni ahli nujum main tahu-tahu...” Bidas Mak Temah. Miasarah memandang Razlan, rupanya Razlan sudah memaklumkan pada emaknya tentang kepulangan mereka. Sedikit pun tidak diberitahu kepadanya. Razlan menepuk dahi. Dia terlupa. Mak Temah hanya geleng kepala. Sesekali dia menjeling ke arah Miasarah, tentu Miasarah akan memarahinya.
“Nak harapkan bini kau yang masak tak merasa la aku. Matahari dah nak terbenam baru nak nampak batang hidungnya.” Razlan memandang wajah Miasarah bersahaja, tidak menyangka belum panas lagi pungungnya duduk dikerusi Miasarah sudah disembur emaknya.
“Bukan salah Mia mak, tapi Lan ni ha, tak kan mak tahu tahu perangai Lan ni macam mana.” Razlan mempertahankan Miasarah. Miasarah hanya senyum tawar.
“Dah la awak ni, anak menantu baru sampai awak dah nak cari salah orang.” Tegur Encik Bakar tidak suka dengan perangai isterinya.
“Mia..Lan mari makan. Ayah dah lapar sangat ni, bau masak lemak tempoyak mak kamu tu memang sedap, kecur liur ayah ni..” Kata Encik Bakar mengundang tawa Razlan. Miasarah hanya senyum. Dia melarikan matanya ketika Razlan mencuri pandang ke arahnya.

Miasarah memandang terkulat-kulat semunya lauk berasaskan tempoyak. Apa dia nak makan.
“Makan Mia..ambik lauk tu jangan malu-malu.” Arah Encik Bakar pada menantunya yang nampak segan. Mia hanya mengangguk. Bukan dia tidak sudi dengan masakan masak lemak tempoyak tapi dia alahan dengan bau tempoyak atau durian inikan pula hendak dimakannya. Miasarah terpaksa menahan rasa mual dan sakit kepalanya. Tidak mahu emak mentuanya terasa hati jika dia memberitahu alahannya.
“Lan, cedukkan kuah tu dalam pingan Mia, dia segan la tu.” Arah Encik Bakar pada Razlan pula apabila Mia masih tidak mengambil kuahnya. Razlan menjeling geram. Terganggu dengan kenikmatan masakan emaknya. Mak Temah mencebik, geram pula melihat Miasarah bagaikan mengambil kesempatan didepan matanya. Miasarah cuba menahan kuah itu dari masuk ke pingannya namun tidak sempat apabila cedukan Razlan lebih pantas dari tindakannya. Miasarah terpaksa juga menelan nasi berkuahkan tempoyak. Tidak mahu menyinggung perasaan mentuanya.

Petang yang mendamaikan. Miasarah tersenyum memandang tiga beranak yang sedang leka bersembang, dia ingin turut serta, tidak mahu ketinggalan bermesra dengan ibu mentuanya yang masih belum dapat menerimanya lagi.
“Kamu bila lagi Lan, mak dan ayah teringin sangat nak menimang cucu dari benih kamu.” Mak Temah mula menyoal Razlan yang sedang menatap suratkhabar semalam yang belum sempat dibacanya.
“Kami bukan tak nak mak, tapi belum ada rezeki lagi.” Jawab Razlan bersahaja. Encik Bakar hanya memandang sekilas wajah Razlan satu-satunya anak lelaki yang dia ada.
“Itulah kamu, mak suruh kahwin dengan Jannah tu kamu tolak mentah-mentah, nak sangat kahwin dengan budak tu. Haa sekarang tengok sampai sekarang belum ada isi lagi.” Bebelan Mak Temah mulai meleret. Razlan menutup surat khabar yang dibacanya lalu menuangkan teko berisi air kopi ke dalam cawannya. Emaknya pasti akan meleret bebelannya jika sentuh pasal anak.
“Eh! awak ni Temah tak baik cakap macam tu kalau dengar dek Mia tentu kecil hati budak tu. Beri anak tu bukan kerja kita itu kerja Tuhan. Dah jodoh anak awak dengan Mia nak buat macam mana lagi, menantu awak tu pun takde kurangnya.” Luah Encik Bakar ternyata kurang senang dengan perangai Mak Temah yang sering memperkecilkan Miasarah.

“Kecil hati dia sahaja awak ambil kira, kecil hati saya awak diamkan aja.” Mak Temah belum berpuas hati. Encik Bakar cuma mampu gelengkan kepala. Apa lagi yang belum memuaskan hati isterinya itu tentang Miasarah.
“Dah takde jodoh anak kita dengan Jannah tu, Mia tu apa kurangnya dimata awak, Saya tengok takde cacat celanya pun. Anak kita yang sukakan dia anak kita yang nak kahwin biarlah. Jannah tu cik Temah oii dah bahagia dengan keluarganya apa lagi awak nak ungkitkan kisah lama” Pertahan Encik Bakar. Mak Temah menjeling geram. Kenapa lah suaminya itu sukakan Miasarah jangan-jangan suaminya itu juga diguna-gunakan Miasarah agaknya.

“Menangkan menantu kesayangan awak tu, balik-balik kita juga yang salah.” Mak Temah bersuara geram. Miasarah muncul jua apabila dia dapat menangkap dengan jelas topik perbualan anak beranak itu, kalau bukan dirinya siapa lagi yang boleh menaikkan bahang kepanasan emak mentuanya itu. Razlan merenung wajah Miasarah mencari kalau-kalau ada segaris kekesalan diwajah Miasarah namun dia cuma melihat wajah ayu Miasarah yang sering basah dengan senyuman. Razlan terpaku. Begitu keraskah hati sahabatnya itu walaupun sering dipersalahkan oleh emaknya. Langsung tidak terusik dengan kata-kata tajam emaknya. Dia tetap memberi senyuman. Sapaan Miasarah hanya dijawab dengan jelingan Mak Temah. Encik Bakar tidak berkata apa bimbang pula melarat pula kemarahan isternya.

Mak Temah berlalu apabila Miasarah mula mengambil tempat disebelah Razlan, dia tidak betah duduk bersantai bersama menantu bukan pilihannya. Razlan terkebil-kebil memandang emaknya serta Miasarah silih berganti. Kasihan Miasarah kerana dirinya dia dibenci emak. Sebelum Miasarah menjadi menantu Mak Temah Miasarah lah tempat Mak Temah bersembang cerita, keakraban Mak Temah dan Miasarah bagaikan anak dan ibu. Miasarah anak yatim piatu diambil Allah nyawa ibu dan ayahnya ketika dia sedang menduduki peperiksaan PMR, semangat dan kecekalannya menghadapi dugaan besar begitu dikaguminya, sejak dari sekolah berasrama penuh lagi mereka akrab, persahabatn itu berlanjutan sehingga ke menara gading. Setiap kali ada cuti semesta dia akan mengajak Miasarah balik ke kampungnya dan emaknya itu tidak pernah bermasam muka malahan lebih seronok melihat Miasarah daripada anaknya sendiri. Razlan pernah nyatakan pada Mak Temah apabila orang tuanya bertanyakan hubungannya dengan Miasarah dan dijawabnya Miasarah hanyalah teman tapi mesra. Mak Temah percaya akan kata-kata Razlan mereka berhubung baik atas dasar persahabatan. Mak Temah merancang untuk meminang anak saudaranya yang jauh untuk dipadankan dengan Razlan. Dia berkenan benar dengan Jannah, seorang ustazah mengajar disekolah tahfiz. Hajat dihati tidak kesampaian apabila saat dia ingin meminang Jannah untuk Razlan anaknya itu sudah ada pilihan hati. Dan dia amat terkejut apabila bakal menantunya itu adalah Miasarah yang sering menafikan hubungan mereka sebelum ini. Bertengkar juga Mak Temah dengan Encik Bakar untuk menerima Miasarah sebagai menantu.

“Jangan ambil hati dengan kata-kata emak kamu tu Mia, mulut aja macam tu tapi hatinya baik.” Pujuk Encik Bakar. Miasarah ketawa kecil.
“Takdelah ayah, Mia faham perasaan mak. Ada betul juga cakap mak tu kalau abang kahwin dengan Jannah dah tentu berderet anak abang sekarang ni, kahwin dengan Mia apa yang dia dapat ayah…Kalau Mia jadi mak pun tentu macam tu juga agaknya bila anak kahwin dengan menantu bukan pilihan.” Sinis sahaja kata-kata itu dipendengaran Razlan. Encik Bakar memandang wajah menantunya itu. Terguriskah hati menantunya yang cukup disenanginya itu.

Razlan merenung wajah Miasarah. Saat matanya berpadu dengan mata Miasarah isterinya itu mengenyitkan sebelah matanya. Razlan mengelabah. Miasarah ketawa tanpa sedar. Encik Bakar merenung menantunya itu silih berganti dengan Razlan yang tersengih-sengih malu. Masih mampu Miasarah ceria walaupun kata-kata tajam baru sahaja dilontar oleh emaknya. Razlan rasa bersalah. Bagaimanakah nasib Miasarah andai dia bertemu dengan wanita yang dicintainya. Sanggupkah dia melepaskan Miasarah yang sering menceriakan hidupnya. Dia senang berkongsi masalah dengan wanita itu tapi mengapa tiada sekelumit rasa cinta yang hadir untuk sahabatnya itu. Razlan meraup wajahnya. Encik Bakar berdehem.
“Tak baik Mia, kita tak boleh lawan Qada’ dan Qadar Allah. Dah tertulis jodoh kamu dengan Razlan ni haa, kalau dipisahkan pun lama-lama bertemu juga.” Razlan merenung wajah Miasarah yang menunduk. Benar juga apa yang diperkatakan ayahnya tentang jodoh. Hanya Miasarah yang difikirkan saat dia memerlukan pertolongan bodoh itu.
“Macam ada masalah aja kamu ni Lan..”
“Err..takde lah ayah. Lan tak apa-apa.” Miasarah merenung wajah Razlan mencari kepastian diantara kata-katanya itu. Razlan tersenyum tawar.

0 comments:

 
Copyright 2009 Diari Hati