Monday, May 10, 2010

Dia Yang Terpilih... 4

Aku tarik perlahan-lahan kerusi di meja makan, sarapan yang sama terhidang membuatkan aku kurang berselera untuk makan. Beginilah kalau tiba giliran Naziah menyediakan sarapan pagi asyik-asyik roti bakar, kalau tak roti bakar dengan jem strawberry mesti roti bakar sapu planta mati nafsu makan ku tiba-tiba.
“Hei pagi-pagi dah termenung depan rezeki apa kes kau ni Maira, kalau yea pun teringatkan si mamat tu takkan sampai macam ni, dulu kau juga yang nasihatkan aku tak baik monyok depan rezeki sekarang terbalik pulak” Naziah menghapiriku sambil mengomel panjang. Salahku juga termenung dipagi hari depan rezeki pulak tu mana tak melentingnya minah tu sedangkan hal itu yang sering aku bebelkan tiap kali dia bergaduh dengan teman lelakinya. Aku mengunyah roti bakar yang disediakannya, makanan itu terasa bagaikan melekat dikerongkong terasa amat payah sekali untuk ditelan. Apa kena pula aku ni. Aku bagaikan baru tersedar entah berapa karun Naziah membebel sebentar tadi sedikit pun tidak masuk ke telingaku, begitu kuat aura Kamil Hakim padaku hingga mampu membunuh mmadku untuk hari ini. Aku mencari kelibat Naziah entah bila pula menghilang kan diri.

“Zie..Zie..” Aku laungkan namanaya setelah mata kasarku tidak dapat mengesan dimana jasadnya pergi.
“Apa dia kau ni! nak apa!Naziah muncul dari arah belakang membuatkan aku betul-betul tersentak, suaranya yang sedikit keras mengejutkanku. Mungkin geram dengan sikapku seperti kebudak-budakan agaknya.
“Kalau yea pun nak menyahut janganlah main sergah macam tu terkejut aku tahu tak!” Rasa geramku mula menjalar dengan sahutannya.
“Yang kau tu kuat sangat berangan sampaikan aku bercakap pun kau buat dek aja, layan lah lagi kerja tanpa gaji kau tu.”
Aku meneguk milo panas yang disediakannya tapi airnya dah pun suam-suam kuku. Naziah duduk bertentangan denganku sesekali matanya memerhati gerak geriku mahu juga aku ketawa melihat gayanya.

“Putera idaman kau tak telefon ke malam tadi sampai mood kau hari ni berubah habis.” Naziah mula membuka topik yang semamangnya mahu ku elakkan.
“Kau nak keluar pukul berapa ni, aku rasa malas la pulak nak temankan kau orang berdating. Kau dengan dia sedap-sedap lepas rindu aku pulak yang melopong.” Sengaja aku mengalihkan topic perbualan tidak mahu Naziah menyoal lebih lanjut tentang Kamil Hakim.
“Ala temankan lah aku, bukan selalu pun lagipun kau kan tahu aku ni pemalu.”
“Ha ah pemalu la sangat, siapa yang tak kenal kau ni Zie satu kampung kenal tau, sebut aja nama Naziah orang dah tahu anak siapa. Kalau aku ni lain la gadis paling sopan dalam kampung kita tu sampai orang pun tak tahu mak aku ada lagi anak dara selain dari Mila dan Inah tu tau.”
“A’aa yea lah kau memang sopan, ayu gitu tapi aku rasa lah semua orang akan ingat bila aku sebut aja budak yang selalu suka ikat rambutnya bertocang dua. Aku rasa macam nak imbas kembali lah zaman kanak-kanak kita siapa erk budak perempuan yang curi rambutan gula batu dikebun pak Seman tu yea, siapa pula budak perempuan bertocang dua yang mandi parit ikut si Pian kena bedal sampai berbirat meraung satu kampung…” kau kenal tak siapa budak tu Maira..” Aku mengecilkan mataku..
“Kalau kau lupa biar aku sebut nama penuhnya nak…”
“Eh! apa ni Zie itu zaman kanak-kanak tak semonggeh la..masa kecik dulu tu aku ikut aja apa si Pian buat bukan aku nak buat pun.” Ah sudah semua kisah-kisah nakal ku sewaktu bergelar kanak-kanak dibongkarkannya. Malu bila diingat kembali kenakalan yang tiada batasan, dah lama aku tidak berjumpa dengan pak Seman. Aku memohon keampunan dari jauh memohon agar dihalalkan segala apa yang dilakukan waktu kecilku, jarang sekali aku berjumpa dengan pak Seman apabila balik ke kampung dengar cerita dia tinggal bersama anak bongsunya di Kulim.
“Ha tau pun kau tak takut…teman aku erk..Maira…” Pujuk Naziah lagi. Aku menggelengkan kepala sengaja mahu menderanya buaknnya apa suka melihat muncungnya seperti cencurut.
“Maira please..please..teman kan aku erk..”
“Tak nak…” aku cuba berkeras.
“Okey..Macam ni lepas kau temankan aku kita ke Mild Velly aku belanja kau tengok wayang…okey..” Naziah cuba mengumpan aku tanpa banyak kerenah aku anggukan kepala tidak mahu mendera perasaannya yang sedang dilamun cinta, tawarannya juga menarik.
“Kau dengan dia serius ke ni, takde keinginan nak ke jinjang pelamin. Jangan bercinta lama sangat Zie nanti kan kemanisan bercinta cepat pudar. Bercinta selepas kahwin kan best.”

“Kau ni kan kalau berkhutbah mengalahkan iman masjid Negara, kalau kena kat batang hidung sendiri baru tahu macam mana Maira. Memang la bencinta selepas kahwin best, tapi nak cari yang betul-betul jujur dengan kita satu dalam sejuta payah ya amat.” Naziah menundukkan kepalanya sambil jari jemarinya bermain dipermukaan cawan.
“Aku bukannya tak nak kahwin cepat tapi kami sekarang ni kan tengah mencari keserasian lagipun aku dengan dia baru lagi dalam proses mengenali hati budi. Biarlah aku kenal dia dulu, lain lah kau dah kenal mamat tu lama mesti dah masak dengan perangai dia kan.” Ujar Naziah.lalu menghirup milo panasnya. Aku hanya mampu tersenyum. Benarkah aku mengenali Kamil Hakim walaupun telah lama ku kenali dia. Bagiku lama atau tidak perkenalan seseorang itu bukan kayu pengukurnya yang penting keserasian.

“Kau dengan Kamil tu macam mana. Kalau dah sama-sama suka tak baik tangguhkan, suruh la dia cepat-cepat masuk meminang, jangan tunggu lama-lama nanti dikebas orang.” Naziah menyanyi riang dihujung kata-katanya. Aku hanya menjeling geram, nampaknya dia masih lagi mahu mengenakan aku.
“Pukul berapa nak keluar ni” Aku mengubah topik mahu lari dari persoalan yang masih belum aku mampu huraikan tentang hubungan aku dan Kamil Hakim.
“Kenapa.. Kau nak kita keluar awal ke”
“Tak lah, kalau lambat lagi nak keluar sempat lagi aku basuh baju.”
“La malam tadi kau tak basuh lagi ke, balik kerja semalam bukan main lagi akau tengok kau bawak bakul ke hulu ke hilir..”
“Sebab tak basuh la ni aku tanya kau pukul berapa nak keluar, jadi masih sempat lagi la aku basuhkan.”
“Dah pergi lah cepat nanti aku ubah fikiran kau pulak yang susah.”
“Okey mem, opss lupa nak pesan kau tolong kemaskan yang ada atas meja ni yea. Terima kasih..”Naziah menjeling geram dengan keletah ku. Aku ketawa kecil apabila matanya dijegilkan.


“Mana perginya pakwe kau ni Zie, jadi ke tidak datang ni, dah berpeluh aku tunggu…karang aku balik saja je kau..”
“Ala Maira tunggu la kejap lagi, aku yakin dia pasti datang tu. Tak pernah dia mungkir janji kalau tak jadi sekalipun dia pasti hubungi aku. Sabar la. Kita tunggu kejap lagi, kalau dia tak datang juga kita balik.” Naziah memujukku, kesian juga aku melihat kerutan diwajahnya makeupnya pun dah semakin cair ku lihat. Hampir satu jam kami menunggu batang hidung buah hati pengarang jantung Naziah tapi jejaka itu belum juga munculnya.
“Cuba kau hubungi dia lagi manalah tahu dia tidur mati ke terlupa ke apa, itu lah orang lain bercinta dia pun nak bercinta tapi tak pandai jaga hati kekasih, baik tak payah bercinta kalau macam ni gayanya.” Aku mula membebel ku lihat wajah Naizah keresahan, wajah bersalahnya membuatkan aku turut rasa kasihan. Apa punya kawan lah aku ni langsung tidak memikirkan perasaan teman sendiri. Kalau aku sebagai penaman dah rasa macam ni apatah lagi dia.
“Tak dapat hubungilah. Jom lah kita balik.” Naziah menarik tanganku mengajak aku balik, mungkin mood datingnya juga hancus saat ini. aku tidak berganjak dari tempatku

“Kita tunggu sekejap lagi kalau dia tak datang-datang juga kita balik aku bagi masa penalty lepas ni takde dah aku nak temankan kalau macam ini lah punya gayanya berdating.
Naziah tersenyum kelat sambil menguis ketulan ais didalam cawan plastic ditangannya.
Satu minit..sepuluh minit menunggu akhirnya naziah berlalu hampa menghampiri keretanya. Aku hanya mampu memandang dengan rasa hati yang berbuku didada. Belum pun sempat Naziah membuka pintu kerata satu laungan memanggil nama Naziah jelas kedengaran.
“Zie!..Zie!…” Kami sama-sama berpaling. Lelaki itu tercungap-cungap apabila berhenti betul-betul dihadapan kami. Senyuman bersalah yang dihulurkan membuatkan Naziah memandang tepat ke arahku lalu berkalih ke arah teman lelakinya semula.
“Maaf Bad terlambat Zie..kereta pancit tengah jalan nak maklumkan pada Ze kebetulan pulak telefon saya kehabisan bateri, minta maaf sangat-sangat buat Zie tertunggu lama. Nasib baik saya sempat kejar kalu tak melepas la.” Terang lelaki itu yang masih lagi kedengaran menahan lelah. Rambutnya kelihatan berserabai ingin tergelak juga aku melihat keadaannya tapi tak sanggup pula ketawa dihadapannya ketika itu.

“Kami dah nak balik…” Ucap Naziah tiba-tiba, suaranya kedengaran seperti orang merajuk. Aku memandang ke arahnya. Hei minah ni kawan tu punya lah lelah nak sampai ke sini, senang-senang aja nak balik takkan dah batal datingnya kot.
Badli terpinga-pinga. Naziah menutup pintu keretanya. Aku memandang ke arah teman lelaki Naziah yang turut memandangku, terkejut juga aku dengan tingkah Naziah begitu jarang sekali dia mempamerkan rajuknya.. Badli yang keletihan kelihatan hampa.
“Err..Badli datang naik apa tadi.” Aku bertanya walaupun Naziah sudahpun berada didalam keretanya.
“Tumpang kawan, dia tengah cari parking. Kalau Zie nak balik takpelah memang saya yang bersalah.” Tuturnya perlahan sambil menghadiahkan senyuman tawar buatku. Aku serba salah. Macam mana hendak memujuk Naziah yang sedang merajuk lelaki ini tidak tahu memujuk ke atau malu dengan kehadiranku disitu.

“Anis Humairah Najla…” siapa pula yang menyebut tatkala aku sedang memikirkan cara untuk memujuk Naizah siap dengan sebutan nama penuhku, tapi macam pernahku dengar suaranya dimana ya. Aku berpaling ingin mengetahui siapa pemilik suara yang seakan pernah ku dengari sebelum ini. Terserempak dengan rakan sepejabatku agaknya. Tergamamku buat seketika apabila pandanganku bertaut pada redupan mata Kamil Hakim yang tersenyum macho. Walaupun nampak santai dengan pakaianya bert-shirt tanpa kolar dan seluar jeans lusuh pun begitu nampaknya dia begitu tampan dimataku. Aku memandangnya tanpa berkelip kagum dengan rupanya yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Jatuh cintakah aku ketika melihat ketampanannya.

“Mil kau kenal ke kawan Zie ni” Suara Badli memecah kebisuan yang tercipta antara aku dan Kamil Hakim. Suara kelelahannya tidak lagi kedengaran dia melangkah menghampiri kami. Badli tinggalkan seketika kisah rajuknya bersama Naziah yang masih tertunggak nampanya dia lebih berminta tentang pertemuan kami. Kamil Hakim hanya mengangguk sebagai jawapan mengiakan soalan Badli tadi.
“Kawan yang kau ceritakan pada aku tu..” sambung Badli lalu melirik senyum menatap wajahku seakan tidak percaya. Entah apa cerita yang diolah oleh Kamil Hakim kepada Badli aku tidak pasti, aku melihat mereka tersenyum sesama sendiri.. Aku bertambah malu apabila empat pasang mata menjamah wajah yang sudahpun mulai terasa bahangnya. Naziah keluar dari perut kereta apabila melihat kami masih lagi kaku ditempat masing-masing.

“Kau tak nak balik ke Maira” Soal Naziah memandang tepat padaku. Wajahnya kelihatan kelat, aku tahu hatinya sebal dengan apa yang berlaku. Tapi kalau difikirkan dengan logik akal takkan nak salahkan si Badli sepenuhnya, bukan lelaki itu tahu pun bila tayar keretanya hendak pancit.
“Dah nak balik…”tuturku perlahan sekadar memberitahu kepada Kamil Hakim.
“Cepatnya nak balik kami baru sampai ni. Bad kau tak bagitahu buah hati kau ke pasal tayar pancit tadi.” Kamil hakim bagiakan tidak setuju dengan keputusna kami yang hendak pulang.
“Aku dah bagitahu dia Mil tapi dia macam merajuk aja dengan aku..” Badli memandang ke arah Naziah mengharapkan agar Naziah membatalkan hasratnya untuk pulang.
“Dah tahu dia merajuk kau pujuk lah.” Kamil Hakim menepuk belakang Badli. Dia tahu Badli amat menyanyangi Naziah cuma kadangkala lelaki itu tidak mampu menunjukkan rasa sayangnya kepada buah hatinya itu.

0 comments:

 
Copyright 2009 Diari Hati